LOKASI kejadian runtuhan konkrit di Jalan Sembulan, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Bomba
LOKASI kejadian runtuhan konkrit di Jalan Sembulan, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Wanita parah selepas dihempap runtuhan konkrit di Jalan Sembulan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa berusia 55 tahun dilaporkan patah tangan dan terpaksa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 10.02 pagi.

Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.

"Mengikut laporan, runtuhan membabitkan beranda di tingkat satu rumah kedai yang roboh dan menghempap mangsa.

"Mangsa yang parah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.40 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 6:57 PM