Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bergambar bersama Atlet dan Pegawai kontinjen Johor yang dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan SUKMA 2022. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bergambar bersama Atlet dan Pegawai kontinjen Johor yang dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan SUKMA 2022. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan Johor hari ini menafikan akan memberikan cuti peristiwa pada Khamis ini atas kejayaan kontinjen Johor menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) baru-baru ini.

Unit Korporat dan Kualiti Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor dalam kenyataannya berkata, kenyataan cuti peristiwa yang tular di media sosial sejak kelmarin itu adalah palsu dan dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

"Tular satu kenyataan melalui aplikasi WhatsApp menyatakan kerajaan Johor akan memberikan cuti peristiwa pada 29 September atau Khamis ini atas kejayaan Kontinjen Johor menjuarai Sukma baru-baru ini.

"Pentadbiran ini menafikan sekeras-kerasnya kenyataan yang dikeluarkan dan sudah tular itu.

"Pentadbiran ini juga kesal atas tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan palsu sehingga menyebabkan kekeliruan kepada orang awam," kata kenyataan itu.

Sejak kelmarin tular di media sosial kononnya kerajaan Johor akan mengumumkan cuti peristiwa susulan kejayaan kontinjen Johor menjuarai Sukma baru-baru ini.

Kenyataan tular palsu yang memetik nama Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, itu antara lain memaklumkan kerajaan negeri memutuskan untuk mengisytiharkan Cuti Khas Peristiwa bagi seluruh rakyat negeri ini pada hujung minggu ini.

Ia kononnya sempena kejayaan Johor menjuarai Sukma 2022 dengan meraih 77 pingat emas keseluruhannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 4:16 PM