KEADAAN langit di Kota Kinabalu yang dirakam dari Menara Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
KEADAAN langit di Kota Kinabalu yang dirakam dari Menara Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Azhar Shahrulnizam


Kuala Lumpur: Negeri di timur Malaysia lebih terkesan berbanding negeri di barat Malaysia berikutan fenomena taufan Noru yang melanda Filipina.

Pakar meteorologi Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, taufan Noru ini berlaku kerana lekukan tropika daripada barat lautan pasifik bergerak ke utara berinteraksi dengan suhu permukaan laut dan wap air, menjana tenaga menguatkan taufan.

"Fenomena taufan di Filipina perkara biasa. Setahun sebanyak dua sehingga tiga kali taufan berlaku dari Filipina sehingga ke Vietnam, sama ada taufan yang lemah ataupun kuat.

"Di Malaysia kita hanya terkena serpihan daripada taufan Noru. Jika angin di Filipina yang dihasilkan berkelajuan 175 kilometer per jam (km/j), angin yang diterima di Malaysia adalah sekitar 37 sehingga 40 km/j," katanya.

Menurutnya, angin yang dihasilkan akan membadai ombak dan membahayakan bot kecil nelayan di Malaysia Timur dengan ketinggian ombak setakat ini mencecah sebanyak 0.79 meter.

Selain daripada peningkatan ombak, Azizan berkata, hujan yang lebat juga akan berlaku dan boleh menyebabkan banjir.

"Langkah keselamatan perlu diambil bagi menangani banjir. Tahun lalu banjir di Kuala Lumpur dan kawasan sekitar berlaku disebabkan interaksi yang membabitkan taufan.

"Selain itu, kegiatan menggerudi petroleum tidak dapat dijalankan disebabkan ombak yang kuat. Penerbangan pesawat juga akan menjadi lebih sukar disebabkan terpaksa melawan serpihan rintangan angin daripada taufan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 4:24 PM