Reuters

Manila: Pihak berkuasa Filipina bertungkus lumus mengagihkan bantuan kepada ribuan mangsa yang dipindahkan kelmarin, selepas Taufan Noru mendarat di ibu negara dan wilayah utara sekali gus mengakibatkan sekurang-kurangnya lima terbunuh dan banyak kawasan dinaiki air.

Angin berkelajuan 185 kilometer sejam melanda pulau utama Luzon pada hujung minggu, menyebabkan pihak berkuasa terpaksa menutup sekolah, pejabat kerajaan dan pasaran saham sehingga Isnin.

Presiden Ferdinand Marcos mengarahkan, bekalan dan peralatan pembersihan disediakan kepada komuniti yang paling terjejas.

"Kita hanya boleh berhenti apabila majoriti mangsa sudah boleh pulang ke rumah," katanya pada sidang akhbar bersama pegawai pengurusan bencana, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada 74,000 orang yang terpaksa berlindung di pusat pemindahan akibat ribut.

Marcos, yang akan menjalankan pemeriksaan menerusi udara lewat hari ini, turut mengarahkan pegawai untuk menyediakan bekalan kuasa kecemasan ke dua wilayah di utara ibu negara, Aurora dan Nueva Ecija, yang terputus bekalan elektrik.

Luzon, yang menyumbang lebih daripada dua pertiga daripada ekonomi dan memiliki kira-kira separuh daripada 110 juta penduduk negara itu, memulakan operasi pembersihan apabila banjir di wilayah ibu negara mula reda, kata pegawai.

Gabenor Bulacan, Daniel Fernando memberitahu stesen radio DZMM, lima petugas penyelamat terbunuh di wilayah Bulacan, di mana penduduk dilihat mengharungi air separas pinggang, manakala sebahagiannya terkandas di atas bumbung.

Sementara itu, Gabenor wilayah Quezon, Helen Tan memberitahu stesen radio DZRH,

banyak rumah musnah tetapi semua jalan boleh dilalui dan tiada tanah runtuh.

Katanya, kerajaan tempatan mula membersihkan pokok tumbang dan serpihan lain.

Noru mendarat sebagai taufan kategori tiga, semakin melemah ketika ia melintasi daratan malam tadi.

Ribut itu menuju ke Laut China Selatan dan ke arah Vietnam, menurut agensi cuaca negara.

Filipina, sebuah kepulauan dengan lebih daripada 7,600 pulau, mengalami purata 20 ribut tropika setiap tahun.

Pada 2013, Taufan Haiyan, salah satu taufan tropika paling kuat pernah direkodkan, membunuh 6,300 orang.

PENDUDUK duduk di atas bumbung sementara menantikan banjir surut di San Miguel, wilayah Bulacan. Ia susulan Taufan Noru di Filipina. FOTO Reuters
PENDUDUK duduk di atas bumbung sementara menantikan banjir surut di San Miguel, wilayah Bulacan. Ia susulan Taufan Noru di Filipina. FOTO Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 12:13 PM