HAKISAN tebing Sungai Bertam Ulu meresahkan penduduk yang meminta tindakan segera diambil pihak berwajib. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
HAKISAN tebing Sungai Bertam Ulu meresahkan penduduk yang meminta tindakan segera diambil pihak berwajib. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Penduduk Kampung Bertam Ulu, Bertam di sini resah dengan kejadian hakisan sungai yang berlaku dan khuatir ia mengancam keselamatan mereka.

Bagi Mazlan Ling Hassan, 60, hakisan tebing Sungai Bertam Ulu itu sudah lama berlaku dengan kejadian terbaru pada Ahad lalu yang turut menyebabkan pondok simpanan barangnya dihanyutkan air.

Dia mendakwa isu itu tidak selesai biarpun sudah membuat aduan sebelum ini dan terkilan kerana pemasangan batu sangkar sementara itu bukan di sepanjang tebing sungai yang mengalami hakisan.

"Batu sangkar ini dipasang untuk elak runtuhan tebing sungai menjadi lebih teruk buat sementara dan bukan penyelesaian jangka panjang.

"Bayangkan, lebih enam meter tanah dan separuh pondok di belakang rumah tempat saya menyimpan tebu dan peralatan memproses air tebu, serta pokok-pokok mengalami hakisan akibat arus deras," katanya lagi.

Seorang lagi penduduk, Majid Md Ali, 63, berkata, hakisan itu bukan saja membahayakan keselamatan kira-kira 30 buah rumah membabitkan hampir 200 penduduk kampung itu, malah ribuan pengguna Lebuh Raya Sungai Udang–Paya Rumput–Ayer Keroh (Lebuh SPA).

"Hakisan Sungai Bertam Ulu ini makin serius sehingga sungai yang dahulunya kecil semakin melebar ke Lebuh SPA di seberang kampung yang boleh membahayakan nyawa ribuan pengguna jalan raya.

"Kami berharap pihak berkuasa mengatasi masalah ini segera yang berpunca daripada beberapa projek perumahan di bahagian hulu sungai menyebabkan limpahan air dari kolam takungan projek.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bertam Ulu, Roslan Hasan, berkata, kerja-kerja pembaikan tebing sudah dilaksanakan oleh kontraktor dilantik bermula Isnin lalu dan dijangka selesai dalam masa dua minggu lagi bergantung kepada keadaan cuaca.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 4:29 PM