GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun mendakwa menjadi mangsa rogol rakan lelaki dikenalinya menerusi aplikasi cari jodoh.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9 malam di kawasan sebuah bengkel di Kemaman pada Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Suffian Sulaiman berkata, mangsa sebelum itu bersama ibunya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk melawat ahli keluarga di hospital berkenaan kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun hanya menunggu di lobi hospital sebelum dia meminta rakan lelakinya yang baharu dikenali menerusi aplikasi berkenaan membawanya ke Kemaman.

"Sebaik sampai di sebuah stesen minyak di Kemaman, mangsa dijemput suspek yang juga baharu dikenalinya sebelum lelaki terbabit membawanya bersiar-siar di sekitar kawasan berkenaan.

"Ketika berada di dalam kereta, mangsa memaklumkan suspek memberikannya minuman menyebabkan dia mengantuk sebelum suspek membawa mangsa ke kawasan sebuah bengkel.

"Mangsa kemudian tertidur dan terjaga apabila suspek bertindak menanggalkan seluar lalu merogolnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Suffian berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kemaman kira-kira jam 5 pagi pada Jumaat.

Katanya, susulan laporan dibuat mangsa, suspek berusia 28 tahun dan bekerja sebagai mekanik ditahan kira-kira jam 2 petang di sekitar daerah Kemaman.

"Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 8:49 PM