KEADAAN kenderaan dinaiki mangsa selepas merempuh kerbau. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN kenderaan dinaiki mangsa selepas merempuh kerbau. FOTO ihsan pembaca
Nurul Fatihah Sulaini


GURU yang juga Pegawai Kanan Tentera Wataniah maut apabila kenderaan dipandunya merempuh kerbau di KM 70 Jalan Kuala Terengganu menghala Kota Bharu berhampiran Masjid Bandar Permaisuri, 4.15 pagi, hari ini

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kejadian itu berlaku apabila mangsa, Che Baharudin Che Teh, 50, dari Penarik yang memandu kenderaan pacuan empat roda dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Tok Dor, Besut.

"Apabila sampai di lokasi kejadian mangsa gagal mengelak kenderaan lalu berlanggar dengan seekor kerbau yang melintas jalan.

"Dia kemudiannya dibawa ke hospital selepas mengadu sakit jantung dan dilaporkan meninggal dunia di Hospital Daerah Setiu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Afandi berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu kenalan arwah yang enggan dikenali berkata, arwah seorang yang disenangi oleh semua pihak.

"Dia meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak berumur antara 25 hingga 16 tahun.

"Kami difahamkan arwah dalam perjalanan pulang selepas singgah seketika di rumah rakan sekerja di Taman Tasek Jaya, Penarik Setiu untuk bertukar kereta.

"Ketika dalam perjalanan dia berlanggar dengan seekor kerbau dan sempat memaklumkan kepada rakan sekerjanya itu tentang kejadian kemalangan," katanya.

Dia berkata, ketika kemalangan mangsa masih sedar dan sempat meminta bantuan kelindan lori untuk bantu alihkan kenderaan.

"Setelah kenderaan dialihkan mangsa menekan dada dan terus tidak sedarkan diri serta dibawa ke Hospital Setiu oleh pihak bomba.

"Dia disahkan meninggal dunia 4.45 pagi tadi di hospital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 3:36 PM