AZAM Baki ketika sidang media pada Majlis 1st MACC Law Enforcement Accredited Programme Convocation 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. FOTO Bernama
AZAM Baki ketika sidang media pada Majlis 1st MACC Law Enforcement Accredited Programme Convocation 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. FOTO Bernama
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjangkakan siasatan membabitkan individu yang dinamakan dalam buku lejar Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), bahan bukti dalam kes rasuah membabitkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ketika ini pihaknya sudah memanggil hampir semua individu yang dinamakan.

"Saya jangkakan dalam tempoh terdekat kertas siasatan akan disiapkan oleh pegawai saya.

"Saya tidak tahu bila (kertas siasatan akan dilengkapkan) tetapi dalam tempoh terdekat," katanya pada sidang media selepas Konvokesyen Program Pentauliahan Penguatkuasaan Undang-undang SPRM pertama 2022, di sini, hari ini.

Azam berkata, selepas siasatan selesai kelak, ia akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti dan keputusan mengenainya diambil.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai siasatan membabitkan nama beberapa individu terkemuka yang dinamakan dalam buku lejar UKSB sebelum ini.

Mahkamah sebelum ini dimaklumkan mengenai beberapa individu yang disebut dalam buku lejar itu selain Ahmad Zahid, antaranya Khairy Jamaluddin, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Turut didedahkan menerima wang UKSB yang dikatakan sebagai dana politik adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan Suffian.

Bagaimanapun, Azam enggan mengulas dakwaan bahawa pertuduhan dikenakan terhadap Ahmad Zahid bersifat terpilih.

Pasukan peguam Ahmad Zahid sebelum ini mendakwa pertuduhan itu bersifat terpilih apabila kes rasuah berkaitan kontrak UKSB di Mahkamah Tinggi hanya membabitkan sumbangan politik.

Malah, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mengetuai pasukan pembelaan mempertikaikan jika sumbangan politik menjadi asas dalam pertuduhan, nama-nama lain disebut saksi dalam pemeriksaan balas mereka perlu disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 1:34 PM