GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Seorang lelaki menarik nafas lega dan menitiskan air mata selepas Mahkamah Tinggi di sini, semalam, melepaskan dan membebaskannya daripada sabitan hukuman penjara seumur hidup dan enam sebatan yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan memiliki dan menanam 12 pokok ganja.

Ia berikutan Hakim Dr Lim Hock Leng membenarkan rayuan yang dikemukakan Azril Surash Masree Samy, 45, mengetepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Dalam keputusannya Lim berkata, rayuan itu dibenarkan manakala sabitan serta hukuman diketepikan dan digantikan dengan perintah pembebasan.

Azril didakwa memiliki dan menanam 12 pokok ganja di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Mega Ria, Batu 3 Jalan Air Panas, dekat sini, kira-kira jam 5.30 pagi pada 3 Ogos 2020.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6B(3) akta sama.

Mahkamah Sesyen pada 27 Januari lalu memerintahkan Azril menjalani hukuman penjara seumur hidup dan enam sebatan selepas disabitkan bersalah atas pertuduhan itu.

Pada prosiding hari ini, Azril diwakili peguam Mark Rosaidey Mohd. Amin Jaafar dan Muhammad Nazreen Jaafar Abdullah Jaafar manakala Timbalan Pendakwa Raya, Hurman Hussain mewakili pihak pendakwaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 4:17 PM