Noel bersama Rakhbir selepas dibebas serta dilepaskan daripada hukuman penjara seumur hidup di Mahkamah Rayuan Kota Kinabalu hari ini. Foto Ihsan Datuk Seri Rakhbir Singh
Noel bersama Rakhbir selepas dibebas serta dilepaskan daripada hukuman penjara seumur hidup di Mahkamah Rayuan Kota Kinabalu hari ini. Foto Ihsan Datuk Seri Rakhbir Singh
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Tukang masak yang berdepan penjara seumur hidup dan 30 sebatan atas dua pertuduhan mengedar dadah pada 2016 terlepas daripada hukuman itu selepas rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2018 diterima Mahkamah Rayuan, hari ini.

Noel Harry Hungan, 34, sebelum ini disabitkan kesalahan atas dua pertuduhan mengedar dadah di dua lokasi di sini, dan diperintah menjalani dua hukuman penjara seumur hidup secara serentak bersama 15 sebatan bagi setiap pertuduhan ketika penghakiman Mahkamah Tinggi pada 29 Mac 2018.

Bagaimanapun, Noel yang diwakili peguam Datuk Seri Rakhbir Singh memfailkan rayuan terhadap sabitan salah dan hukuman terhadapnya di Mahkamah Rayuan, manakala pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun memfailkan rayuan terhadap hukuman yang dikenakan.

Berdasarkan fakta kes, Noel ditahan polis pada 10 Mei 2016 di Pejabat Pos Kota Kinabalu ketika memegang sebuah kotak yang mengandungi dadah jenis ganja seberat 2,811 gram.

Keesokan harinya, Noel membawa anggota polis yang menahannya sebelum itu ke kargo AirAsia di Kota Kinabalu, di mana tertuduh menunjukkan dan memegang satu lagi kotak yang mengandungi 3,768 gram ganja.

Berikutan itu, Noel menghadapi dua pertuduhan mengedar dadah, masing-masing di Pejabat Pos Kota Kinabalu dan di kargo AirAsia Kota Kinabalu mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39 B (2) akta yang sama.

Perbicaraan di Mahkamah Tinggi bermula pada 22 Ogos 2017 dengan pihak pendakwaan memanggil enam saksi, sebelum Noel diperintah membela diri pada 23 November 2017.

Noel memberi keterangan di kandang saksi dan disoal balas pihak pendakwaan pada 13 Disember 2017 sebelum Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mensabitkan kesalahan atas kedua-dua pertuduhan terhadapnya pada 29 Mac 2018.

Rakhbir berkata, dalam prosiding Mahkamah Rayuan pagi hari ini, Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk P Ravinthran dan Datuk Abu Bakar Jais sebulat suara membenarkan rayuan Noel terhadap kedua-dua pertuduhan terbabit.

Katanya, Mahkamah Rayuan membatalkan sabitan salah dan hukuman seumur hidup serta mengetepikan 15 sebatan bagi pertuduhan pertama iaitu dakwaan pengedaran dadah di Pejabat Pos Kota Kinabalu.

Rayuan Noel terhadap pertuduhan kedua iaitu dakwaan pengedaran dadah di kargo AirAsia, katanya, turut diterima sepenuhnya dan dia dibebas serta dilepaskan daripada sabitan hukuman penjara seumur hidup serta 15 sebatan terhadapnya sebelum ini.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun memerintahkan Noel menjalani hukuman atas satu kesalahan memiliki dadah mengikut Seksyen 6, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta yang sama dengan hukuman 15 tahun penjara dari tarikh tangkapan dan 10 sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 8:12 PM