Fahmy A Rosli

Ampang: Wisma Putra akan menyiasat dakwaan mengatakan kedutaan Malaysia tidak dapat dihubungi pihak hospital di Thailand untuk memaklumkan keadaan menimpa seorang rakyat negara ini, Zhan Feng.

Feng, 23, dilaporkan meninggal dunia pada 11 Mei lalu di Hospital Mae Sot berhampiran sempadan Thailand-Myanmar.

Mendiang juga dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang dan diseludup ke Myawanddy, Myanmar serta dipaksa bekerja untuk sindiket itu.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, beliau tidak pasti bagaimana dakwaan itu boleh timbul, namun akan mendapatkan laporan untuk mengetahui apa yang berlaku.

"Saya akan siasat apa yang berlaku. Saya sedih dan terkilan kerana perkara ini berlaku dalam keadaan kita sedang menguruskan lebih kurang 195 lagi rakyat Malaysia termasuk di Thailand...majoriti di Kemboja di mana mereka ini mangsa 'job scam' (penipuan pekerjaan).

"Saya tidak pasti bagaimana laporan mengatakan pihak terbabit tidak dapat berhubung dengan kedutaan Malaysia. Mungkin peristiwa itu berlaku dalam kawasan konflik atau mungkin berlaku di sempadan. Saya tak pasti.

"Saya akan dapatkan laporan yang jelas tentang apa yang berlaku. Hakikat selepas benda-benda begini berlaku, kaunselor akan membantu sedaya-upaya sama ada proses membawa balik (jasad) dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Rabbaniyah Educare yang juga pusat pendidikan alternatif untuk etnik Rohingya, di sini, hari ini.

Media kelmarin melaporkan pasangan suami isteri warga Malaysia yang ke Bangkok untuk mencari anak lelaki yang hilang tidak dapat menahan kesedihan sebaik mengetahui dia sudah meninggal dunia pada 11 Mei lalu.

Lebih menyedihkan apabila Goi Chee Kong, 50, dan isterinya yang berusia 45 tahun dari Ipoh, Perak mendapat tahu yang anak sulungnya, Feng, menjadi mangsa sindiket penipuan kerja.

Berikutan itu, katanya, pihak hospital juga tidak dapat menghubungi kedutaan dan keluarga untuk membincangkan mengenai keadaan kesihatan dan rawatan anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 3:14 PM