Annuar Musa pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk Sambutan Hari Malaysia 2022 di Seri Negeri Ayer Keroh, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Annuar Musa pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk Sambutan Hari Malaysia 2022 di Seri Negeri Ayer Keroh, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Oleh Amir Mamat

Ayer Keroh: Sambutan Hari Malaysia di Melaka pada 16 September ini menampilkan kelainan apabila tetamu jemputan dan orang awam mengenakan pakaian dan busana pelbagai etnik era 60-an.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata elemen yang bakal menyaksikan penyertaan masyarakat pelbagai kaum itu dipilih bagi mengimbau kembali nostalgia sewaktu negara terbentuk sebagai Malaysia pada tahun 1963.

Beliau berkata, yang lebih menarik, sambutan kali ini diadakan di lokasi pengisytiharan kemerdekaan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman pada 20 Februari 1956 iaitu di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini yang sebelum ini dikenali sebagai Padang Pahlawan.

"Untuk sambutan tahun ini, kita bersetuju supaya semua kira-kira 2,000 tetamu jemputan perlu berpakaian dan berbusana tradisional bersifat silam mengikut kaum dan etnik masing-masing, manakala orang awam yang menghadiri sambutan itu juga digalakkan untuk berpakaian sedemikian.

"Kita mahu mengimbau kembali suasana masyarakat ketika zaman Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan tarikh kemerdekaan di Melaka satu ketika dulu yang mana pada ketika itu ribuan masyarakat pelbagai kaum hadir di Banda Hilir untuk menyaksikan dan mendengar pengumuman tarikh kemerdekaan itu.

"Sudah pasti mereka berpakaian tradisional dan moden pada ketika itu dan gambaran itulah yang akan berlaku pada Sambutan Hari Malaysia di Melaka, 16 September ini," katanya selepas mempengerusikan bersama mesyuarat jawatankuasa induk Sambutan Hari Malaysia 2022 di Seri Negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari.

Annuar berkata, sambutan itu akan dirasmikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.

Katanya, Perdana Menteri bersama kedua-dua pemimpin negeri terbabit akan menandatangani buku peringatan pembentukan persekutuan Malaysia.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, selain berbusana zaman silam, sekitar lokasi sambutan juga akan dihiasi dengan pelbagai hiasan mengikut suasana ketika pengisytiharan kemerdekaan berkenaan.

Katanya, langkah terbabit selaras dengan sambutan yang julung kalinya diadakan di tempat terbuka selepas pandemik Covid-19, berbanding acara di tempat tertutup sebelum ini.

"Tun Mohd Ali bersama Datuk Seri Ismail Sabri serta tetamu khas lain akan diarak menaiki beca sebaik tiba di lokasi sambutan dan kami menjangkakan lebih 10,000 pengunjung akan memeriahkan acara yang julung kali diadakan di Melaka itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 4:27 PM