Kapal LCS yang masih dalam pembinaan. FOTO Arkib NSTP
Kapal LCS yang masih dalam pembinaan. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kerajaan Perancis meletakkan keutamaan tertinggi untuk meneruskan dan menyiapkan Kapal Tempur Pesisir (LCS), kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi pertemuan beliau bersama pihak Kerajaan Perancis, hari ini.

"Pertemuan bersama pihak Kerajaan Perancis hari ini memberi tumpuan terhadap komitmen antara kerajaan kedua-dua negara berhubung perolehan LCS.

"Seperkara yang cukup penting, Kerajaan Perancis sendiri telah menyatakan bahawa meneruskan dan menyiapkan LCS merupakan keutamaan tertinggi Kerajaan Perancis," kata Hishammuddin menerusi hantaran dimuat naik di Facebook, hari ini.

Katanya, ia adalah perkembangan yang mustahak terutama di fasa mobilisasi enam bulan seperti diputuskan Jemaah Menteri, April lalu.

"Malah komitmen Kerajaan Perancis ini juga selari dengan syor beberapa pihak terutamanya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) serta keputusan Jemaah Menteri supaya projek LCS diteruskan demi kepentingan Tentera Laut Diraja Malaysia," katanya.

Sementara itu, wakil Kerajaan Perancis dalam ucapannya memaklumkan pihaknya teruja untuk meneruskan semua kerjasama antara kedua-dua negara di dalam pelbagai bidang yang dibincangkan termasuk di luar kementerian.

"Kami bertekad untuk bantu sebaik mungkin dan menjemput Datuk Seri (Hishammuddin) jika perlu.

"Kami akan usahakan projek LCS dan projek-projek lain," katanya menerusi ucapan dalam video dimuat naik di hantaran berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 10:53 PM