SENJATA tajam yang ditemukan dalam kereta suspek. FOTO Ihsan Polis
SENJATA tajam yang ditemukan dalam kereta suspek. FOTO Ihsan Polis
Siti Rohana Idris


Tanah Merah: Lelaki dengan 10 rekod lampau berkait dadah dan jenayah ditahan di Kampung Air Asahan Hulu, di sini, malam tadi selepas melarikan diri dengan kereta sebaik ternampak pihak berkuasa.

Hasil pemeriksaan dalam kenderaan Proton Iswara yang dipandu suspek berusia 31 tahun itu menemukan tiga jenis senjata tajam iaitu parang, pisau dan lawi ayam yang disembunyi di bawah tempat duduk pemandu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, pada jam 9 malam tadi ketika anggota unit rondaan MPV melakukan penugasan di Jalan Jedok, di sini, mereka ternampak kenderaan itu dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Menyedari kehadiran pihak polis, pemandunya bertindak memecut kenderaan ke arah jalan Kampung Batu Gajah dan memandu dalam keadaan merbahaya sehingga terbabas masuk ke arah gaung berhampiran anak sungai di jalan Kampung Air Asahan Hulu.

"Hasil pemeriksaan yang dibuat menjumpai satu beg silang yang di dalamnya mengandungi 20 biji pil berwarna putih disyaki dadah jenis epam, sebilah parang berhulu besi bersarung plastik hitam, pisau berhulu kayu warna coklat bersarung kulit dan lawi ayam berhulu kayu yang disembunyi di bawah tempat duduk pemandu," katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Razi berkata, hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku bahawa semua senjata tajam itu adalah miliknya dan dibawa dengan tujuan menjaga keselamatan diri.

Katanya, suspek juga mengaku tindakannya melarikan diri disebabkan takut ditahan oleh pihak polis kerana kesalahan memiliki senjata serta dadah dalam simpanan.

"Ujian awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan lelaki itu jugamempunyai 10 rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah.

"Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958/279 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 7:06 PM