MAZLAN (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Shah Alam hari ini. FOTO FAIZ ANUAR
MAZLAN (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Shah Alam hari ini. FOTO FAIZ ANUAR
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Pegawai kanan anak syarikat kerajaan negeri Selangor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan jawatan bagi mencadang lantikan terus syarikat milik saudaranya untuk mendapatkan projek perisian bernilai lebih RM 1.7 juta, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mazlan Mahadi, 51 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kertas pertuduhan, Mazlan sebagai Pengarah Pembangunan Perniagaan di SSDU Innovations Sdn Bhd menggunakan jawatannya untuk mencadangkan lantikan terus dibuat kepada MMSC Ventures Sdn Bhd bagi Kontrak Perkhidmatan Design, Develop, Deploy And Maintain The AWS Landing Zone dengan nilai kontrak RM 1,797,865.58.

Syarikat MMSC Ventures Sdn Bhd adalah milik saudara tertuduh yang mana dia ada kepentingan dengannya.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun, didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 25 Mac 2020 di Pejabat Selangor Smart Delivery Unit Innovations Sdn Bhd.

Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan passport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri ke Pejabat SPRM terdekat pada setiap awal bulan.

Mazlan diwakili Datuk K Kumaraendran dan Teh See Khoon memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM.

Mahkamah kemudian membenarkan Mazlan dijamin RM80,000 beserta syarat tambahan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 12:22 PM