Pengarah syarikat, Chin Wai Lan, 50, (kanan) didakwa di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 17 pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah lebih RM160 juta.
Pengarah syarikat, Chin Wai Lan, 50, (kanan) didakwa di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 17 pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah lebih RM160 juta.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pasukan pendakwaan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) membantah jaminan terhadap pengarah syarikat yang didakwa mahu melarikan diri apabila membeli tiket penerbangan ke Singapura, sehari selepas waran tangkap dikeluarkan.

Ini berikutan wanita berkenaan ditahan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam, kira-kira sejam sebelum dia berlepas ke negara seberang tambak itu.

Perkara itu didedahkan di dua Mahkamah Sesyen di sini, hari ini sekali gus pihak pendakwaan membantah jaminan diberikan terhadap tertuduh, Chin Wai Lan, 50, yang didakwa atas 17 pertuduhan menerima wang berjumlah RM164,587,103.

Wang itu hasil daripada aktiviti haram di dalam akaun bank semasa milik enam syarikat iaitu SC Wealth Planner Sdn Bhd, New Straits Ventures Sdn Bhd, Pinetree Field Sdn Bhd, Pixelvest Sdn Bhd, Quarters Venture Sdn Bhd dan Quarters Capital PLT, yang mana tertuduh adalah pengarah kesemua syarikat ketika kesalahan itu dilakukan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di beberapa bank di Kuala Lumpur dan Selangor antara 23 Disember 2020 hingga 21 Disember 2022.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SC Muhammad Izzat Fauzan tidak menawarkan sebarang jaminan dengan berhujah tertuduh adalah seorang 'flight risk' ketika tangkapan dibuat, semalam.

"Pihak pendakwaan dimaklumkan tertuduh membeli tiket penerbangan untuk ke Singapura. Malah, tertuduh ditangkap di terminal KLIA.

"Pegawai penyiasat menghubungi tertuduh tujuh kali dan WhatsApp supaya memberi kerjasama, namun tertuduh tidak mengendahkan.

"Hasil semakan kami dengan Malaysia Airlines, tertuduh sudah membeli tiket penerbangan ke Singapura pada 10.11 pagi dan akan berlepas dengan penerbangan MH1605 pada 3.25 petang, namun kami berjaya menahan tertuduh jam 2.05 petang di Golden Lounge KLIA, dia hampir berjaya melarikan diri," katanya.

Mendengar hujahan itu, peguam Lee Keng Fatt yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan terhadap tertuduh dengan alasan, anak guamnya mempunyai tanggungan dua anak masing-masing berusia 10 dan 20 tahun.

"Pihak pembelaan akui tertuduh ditahan di KLIA kerana ketika itu tertuduh ke luar negara untuk menghadiri satu konsert pada 14 Januari ini di Macau.

"Tertuduh adalah seorang ibu tunggal dan turut mempunyai tanggungan bapa berusia 80 tahun. Di peringkat pendakwaan, tertuduh masih belum didapati bersalah dan kes juga masih belum dibicarakan," katanya.

Selepas mendengar permohonan dan makluman kedua-dua pihak, Hakim Datin Sabariah Othman membenarkan tertuduh diikat jamin RM7 juta dengan dua penjamin, manakala Hakim Azrul Darus pula membenarkan jumlah sama yang mana jumlah keseluruhan ikat jamin adalah RM14 juta.

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 4:26 PM