BOMBA memadamkan kebakaran di Kampung Sireh di sini. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA memadamkan kebakaran di Kampung Sireh di sini. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli

Kuala Nerang: Tiga kereta dan dua motosikal musnah sekelip mata dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Sireh, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima laporan berhubung kebakaran itu pada jam 4.28 petang.

Menurutnya, pasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang dan Pokok Sena yang diketuai Pegawai Operasi iaitu Penolong Penguasa Bomba Azhari Abdullah tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Setibanya di lokasi, didapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah rumah yang musnah 95 peratus.

"Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan mangsa dalam kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, kebakaran itu turut mengakibatkan kemusnahan tiga kereta iaitu Proton Saga, Kia Spectra dan Proton Iswara Aeroback termasuk motosikal Honda EX-5 dan SYM Sport Bonus.

"Api berjaya dikawal pada jam 4.49 petang dan operasi tamat sepenuhnya jam 7.05 malam. Setakat ini punca dan jumlah kerugian masih disiasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 8:56 PM