PERODUA Axia dinaiki dua wanita remuk selepas terbabas ke gaung di Jalan Durian Burung-Baling. FOTO IHSAN JBPM
PERODUA Axia dinaiki dua wanita remuk selepas terbabas ke gaung di Jalan Durian Burung-Baling. FOTO IHSAN JBPM
Zuliaty Zulkiffli


DUA wanita cedera selepas kereta dinaiki terbabas lalu terhumban ke gaung di Jalan Durian Burung-Baling, Kuala Nerang, hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari, kedua-dua mangsa berusia 16 dan 21 tahun terselamat walaupun keadaan Perodua Axia dinaiki mereka remuk.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.13 tengah hari berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Johari Saad tiba di lokasi jam 12.34 tengah hari.

“Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan anggota bomba dan diberi rawatan awal oleh anggota Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Seorang daripadanya dihantar ke hospital dengan menaiki EMRS manakala seorang lagi dibawa menaiki ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 2:46 PM