MOHD Zawawi (empat dari kiri) ketika melancarkan Aplikasi Whoscall. FOTO Norzamira Che Noh.
MOHD Zawawi (empat dari kiri) ketika melancarkan Aplikasi Whoscall. FOTO Norzamira Che Noh.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Aduan mengenai kegiatan penipuan di media sosial serta urus niaga atas talian di Selangor meningkat apabila sebanyak 4,608 kes direkodkan bermula 1 Januari hingga 31 Julai lalu.

Statistik itu diperoleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menerusi aduan dan laporan mangsa dalam tempoh berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,136 kes yang membabitkan transaksi dalam talian.

Katanya, berdasarkan rekod KPDNHEP Selangor kes penipuan dalam talian itu semakin meningkat berbanding tahun sebelumnya.

"Jumlah aduan yang diterima KPDNHEP Selangor memang ada peningkatan malah saya percaya ramai lagi yang tidak membuat aduan.

"Justeru, cadangan atau usaha yang dilakukan syarikat atau badan bukan kerajaan (NGO) sebagai contohnya memperkenalkan aplikasi yang berupaya mengesan pemanggil dapat membantu pengguna dari menjadi mangsa penipuan.

"Ia sekali gus dapat mengurangkan bilangan kes penipuan dalam talian di negeri ini," katanya pada sidang media selepas Forum Kesedaran Penipuan Dalam Talian dan Pelancaran Aplikasi Whoscall di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi berkata orang ramaijuga dinasihatkan terus peka dan berwaspada bagi mengelak menjadi mangsa penipuan itu.

Katanya, tindakan suka berkongsi atau mempamerkan kemewahan di media sosial juga boleh mengundang scammer menjadikan individu berkenaan sebagai sasaran atau mangsa.

"Justeru, pengguna dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada serta tidak terlalu berkongsi kemewahan di media sosial," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama kerajaan negeri dan aplikasi Whoscall akan melibatkan penganjuran seminar atau kempen kesedaran mengenai aktiviti penipuan di negara ini.

"Whoscall adalah aplikasi yang diperkenalkan sejak 2018 bagi membantu mengesan panggilan telefon dan dapat mengesan identiti pihak tertentu terutama scammer.

"Kita berharap kerjasama ini dapat meningkatkan kesedaran pelbagai pihak sekali gus mengurangkan kes penipuan dalam talian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 4:20 PM