Keadaan motosikal ditunggangi pelajar kolej vokasional terbakar selepas dirempuh sebuah kereta pagi tadi di KM 7 Jalan Asahan-Jasin. FOTO IHSAN PDRM
Keadaan motosikal ditunggangi pelajar kolej vokasional terbakar selepas dirempuh sebuah kereta pagi tadi di KM 7 Jalan Asahan-Jasin. FOTO IHSAN PDRM
Meor Riduwan Meor Ahmad


Jasin: Penuntut Kolej Vokasional Alor Gajah maut selepas motosikal ditunggang merempuh kereta dan terbakar di selekoh Kilometer 7 Jalan Asahan-Jasin dekat sini, hari ini.

Dalam nahas 11.15 pagi itu, Muhammad Altaaf Danish Mat Nasir, 18, yang menunggang Yamaha 135LC parah dan meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, pemandu kereta jenis Toyota Camry berusia 29 tahun pula tidak cedera.

"Siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki itu yang juga penganggur dalam perjalanan dari Jalan Kampung Bukit Asahan menuju ke Jasin, manakala motosikal mangsa datang dari arah bertentangan.

"Setibanya di lokasi, kereta itu terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar kereta di sisi kanan hadapan, menyebabkan ia terbakar dan penunggang meninggal dunia di lokasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar Unit Forensik Hospital Jasin untuk dibedah siasat dan siasatan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 5:06 PM