ANGGOTA Bomba melakukan kerja menyelamat susulan kemalangan berhampiran Kampung Padang Ampang. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA Bomba melakukan kerja menyelamat susulan kemalangan berhampiran Kampung Padang Ampang. FOTO ihsan Bomba
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) maut manakala tiga rakan sepengajian serta seorang lagi pemandu cedera dalam kemalangan dua kereta di Jalan Kota Lama Kiri berhampiran Kampung Padang Ampang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian itu, Muhammad Ali Ihsan Dzulkeflee, 22, maut di tempat kejadian manakala tiga rakan sepengajian universiti yang sama sama berusia antara 22 hingga 26 tahun cedera.

UPNM menerusi Facebook mengesahkan mengenai empat penuntutnya yang kesemuanya pelajar Tahun Ketiga terbabit dalam nahas itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan awal mendapati nahas 11.50 malam itu berlaku di KM46 Jalan Ipoh-Taiping apabila Toyota Vios dipandu lelaki berusia 41 tahun terbabas masuk ke laluan Perodua Kancil dinaiki empat penuntut berkenaan.

"Toyota Vios melanggar tiang di bahu kiri jalan di hadapan laluan Perodua Kancil sebelum ia berpusing masuk ke tengah jalan, menjadikan Perodua Kancil yang sedang mara di laluannya tidak sempat mengelak lalu merempuh Toyota Vios terbabit.

"Akibat nahas itu, Muhammad Ali Ihsan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga lagi yang menaiki Perodua Kancil serta pemandu Toyota Vios mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar untuk menerima rawatan," katanya ketika dihubungi, petang ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 5:52 PM