Ahmad Faizal Azumu.
Ahmad Faizal Azumu.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Serangan peribadi terhadap lima panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang terbabit dengan prosiding rayuan akhir bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd boleh memalukan nama baik negara.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan itu perlu dihentikan serta merta, bukan sahaja ia tidak beretika dan mengganggu sistem badan kehakiman tetapi serangan secara terbuka di media sosial mengundang persepsi negatif.

"Serangan peribadi terhadap hakim dan ahli keluarga mereka turut dibimbangi mewujudkan keadaan tidak tenteram termasuk mengancam kedaulatan undang-undang.

"Saya yakin, serangan ini sengaja dilakukan bagi mengganggu kebebasan badan kehakiman negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, secara peribadi beliau berpandangan badan kehakiman perlu berfungsi sebagai benteng terakhir dalam menegakkan keadilan.

"Maka menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia untuk memastikan maruah institusi kehakiman dipelihara dengan rapi.

"Walaupun demokrasi tidak menghalang hak rakyat daripada bersuara dan memberi kritikan namun, ia tidak bererti mana-mana individu boleh melakukan serangan secara peribadi apatah lagi disulami dengan niat jahat untuk kepentingan pihak tertentu," katanya.

Menurutnya, badan kehakiman seharusnya diberi ruang dan masa bagi memastikan keadilan serta kebenaran dapat dilaksanakan demi kedaulatan undang-undang yang dijunjung.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menyiasat sebarang elemen ancaman dan ugutan terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Sejak kelmarin ancaman terhadap Tengku Maimun dikesan dalam pelbagai medium media sosial, termasuk Twitter dan Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 1:28 PM