GAMBAR sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR sekadar hiasan. FOTO NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berharap dasar yang akan dirangka Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menangani isu buli di fasiliti kesihatan bukan sahaja ditulis di atas kertas, sebaliknya diamalkan pegawai perubatan.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata, KKM memaklumkan perlu ada tindakan susulan di lapangan serta di semua peringkat dasar supaya persekitaran dan budaya kerja di fasiliti kesihatan dapat diubah.

"Walaupun dapatan pasukan petugas khas (Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) yang menyiasat buli mendapati 60 peratus daripada responden menganggap budaya kerja di KKM adalah positif, bagaimanapun terdapat 20 peratus mengesahkan wujudnya budaya buli berkenaan di tempat kerja.

"Disebabkan isu buli dalam KKM itu sudah berleluasa dan bukan lagi khabar angin, pihak kementerian perlu bertindak dengan memastikan dasar yang komprehensif dapat diambil mengikut saranan HWCITF supaya isu buli ini dapat diatasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Pengerusi HWCITF, Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir memaklumkan laporan pasukan khas mendapati insiden lesu upaya atau burnout buli dan budaya kerja kurang sihat disahkan berlaku dalam kalangan warga kerja KKM.

Bagaimanapun, laporan itu memaklumkan ia berlaku di tahap yang berbeza dan tidak berlaku di semua fasiliti kesihatan.

Malah budaya buli itu tidak hanya berlaku dalam kalangan Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) tetapi ia merentasi semua peringkat warga kerja kementerian sama ada secara langsung atau tidak.

Dr Kar Chai turut mengucapkan terima kasih kepada HWCITF kerana berjaya melengkapkan laporan berkenaan serta mengemukakan cadangan bagi menambah baik sistem dalam KKM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 6:45 PM