DR Zaliha Mustafa. FOTO Aswadi Alias.
DR Zaliha Mustafa. FOTO Aswadi Alias.
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak berkaitan sekiranya terdapat insiden buli dalam kalangan warga kerjanya, kata Menterinya Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata KKM mengambil maklum tinjauan yang dibuat oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkenaan kes buli yang membabitkan pengamal perubatan sektor awam dan swasta di Malaysia.

Dr Zaliha berkata KKM sudah melaksanakan sistem MyHELP yang merupakan satu platform khas bagi melaporkan isu-isu buli yang berlaku di KKM.

"Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua petugas kesihatan untuk melaporkan aduan mereka melalui sistem aduan tersebut yang sememangnya telus dan mempunyai tahap kerahsiaan yang tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 15 Oktober lalu, kajian MMA yang dilaksanakan antara 15 September hingga 1 Oktober lalu mendapati 30 hingga 40 peratus doktor di negara ini menjadi mangsa buli.

Kajian turut mendapati mangsa buli tidak membuat aduan kerana takut atau tidak tahu bagaimana mengadu, malah tiada tindakan diambil terhadap kes yang merekodkan aduan.

Dr Zaliha berkata Pasukan Petugas Khas bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) yang telah ditubuhkan sentiasa mengadakan libat urus dengan pihak KKM dalam memastikan kesihatan mental dan kebajikan warganya sentiasa terpelihara agar insiden seperti buli dapat ditangani.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 8:06 PM