GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti Rohana Idris


Tanah Merah: Seorang penguat kuasa Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) cedera di kepala akibat dipukul dua lelaki jam 12.30 tengah malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, terdahulu, mangsa yang berusia 48 tahun ditahan di Jalan Pasir Mas-Tanah Merah oleh dua lelaki yang menaiki sebuah kereta.

"Mangsa ketika itu menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya sebelum ditahan lelaki tidak dikenali.

"Dua suspek keluar daripada kereta dan terus memukul mangsa di kepala sebelah kiri dan badan. Mangsa dapat melarikan diri dan membuat laporan di Balai Polis Tanah Merah," katanya dihubungi hari ini.

Mohd Rozi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 / 506 Kanun Keseksaan dan pihaknya masih mengenal-pasti motif serta identiti suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 2:34 PM