LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Samadi Ahmad


Putrajaya: "Saya mengambil berat tindakan seorang wanita mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram lengkap seperti lelaki," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Menurutnya, isu itu membabitkan hukum agama dan tindakan tegas perlu dikenakan kepada individu terbabit.

Katanya, pihaknya sudah menghubungi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan memohon untuk membuat siasatan lanjut ke atas individu berkenaan setibanya di tanah air nanti.

"Saya juga menghubungi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) untuk memastikan sekiranya perkara ini benar, tindakan tegas juga akan dikenakan kepada agensi yang menguruskan individu berkenaan," katanya yang dikongsi di Facebook.

Terdahulu media hari ini melaporkan, seorang wanita tular selepas merakamkan video dia mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram lengkap seperti lelaki.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dilaporkan berkata, tindakan sewajarnya perlu dikenakan ke atas individu berkenaan bagi mengelak lebih banyak kes seumpamanya berlaku.

Sejak semalam, tular di Twitter beberapa hantaran mengenai wanita berkenaan susulan videonya berada di Tanah Suci Makkah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah lelaki.

Dalam satu hantaran video menunjukkan wanita terbabit menuju ke Raudhah dan pada masa sama seorang pengguna Twitter mengesahkan individu berkenaan adalah wanita dan bekas pekerjanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 10:17 PM