TENGKU Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. FOTO arkib NSTP
TENGKU Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. FOTO arkib NSTP
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Dewan Rakyat dimaklumkan hutang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd dan Suria Synergy Energy Recources Sdn Bhd (SSER) tidak meningkatkan jumlah hutang kerajaan secara langsung.

Hutang kerajaan kini berjumlah RM1.045 trilion atau 63.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagaimanapun, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, 1MDB, SRC dan SSER adalah entiti yang menerima jaminan kerajaan di bawah Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965 atau Seksyen 14 Akta Tatacara Kewangan.

"Oleh itu, entiti ini akan memberikan pendedahan risiko liabiliti luar jangka kepada kerajaan selagi komitmen hutang entiti berkenaan masih belum selesai.

"Selain itu, entiti ini juga dikategorikan sebagai komitmen jaminan kerana menerima peruntukan kewangan daripada kerajaan bagi membantu dalam bayaran komitmen hutang," katanya dalam jawapan lisan bagi menjawab Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur).

Wong bertanya jumlah hutang negara setakat kini dan bagaimana hutang atau jaminan 1MDB, SRC dan SSER sudah menyumbang kepada hutang negara yang tinggi.

Beliau berkata, sehingga akhir Jun lalu, baki komitmen hutang 1MDB yang membabitkan bayaran prinsipal serta faedah kepada dua bon dan satu sukuk adalah sebanyak RM32.08 bilion, dengan andaian kadar tukaran wang asing untuk AS$1 bersamaan RM4.50.

"Manakala baki komitmen hutang SSER yang membabitkan bayaran prinsipal dan faedah berjumlah RM8.78 bilion, dengan andaian kadar tukaran wang asing untuk RMB1 bersamaan RM0.6588. Bagaimanapun, komitmen hutang SRC sudah pun selesai pada 28 Mac 2022 yang lalu," katanya.

Sementara itu, dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis), Tengku Zafrul berkata, jumlah bayaran faedah yang perlu dibayar bagi hutang 1MDB bagi tahun ini adalah sebanyak RM1.57 bilion, dengan andaian kadar tukaran wang asing AS$1 bersamaan dengan RM4.50.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga akhir suku pertama 2022, pinjaman luar pesisir kerajaan persekutuan yang berdenominasi dalam matawang asing adalah sebanyak RM29.2 bilion atau 1.8 peratus kepada KDNK.

"Daripada jumlah ini, pinjaman pasaran iaitu hutang sukuk global dan bon samurai mencatat RM24.9 bilion, manakala baki RM4.3 bilion adalah pinjaman projek.

"Pembayaran faedah atas pinjaman luar pesisir dibuat secara dua kali setahun mengikut jadual ditetapkan. Bagi tahun ini, sebanyak RM780 juta diperuntukkan bagi pembayaran faedah atas pinjaman luar pesisir yang merangkumi bon samurai, sukuk global dan pinjaman projek luar negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 1:23 PM