Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan, kerajaan tidak menanggung sebarang hutang atau bayaran faedah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebaliknya beliau berkata, kerajaan hanya memberi jaminan eksplisit pinjaman bernilai RM5.8 bilion.

Kata beliau, hutang syarikat itu mencecah RM36.25 bilion pada tahun berakhir 31 Mac 2013.

Seperti syarikat lain yang tertakluk mengikut Akta Syarikat, kata beliau, 1MDB juga mempunyai liabiliti terhad.

“Selain daripada pinjaman atau bon yang menerima jaminan kerajaan, hal kewangan 1MDB tidak termasuk dalam kiraan liabiliti kontinjen kerajaan. Keadaan kewangan syarikat tanggungan syarikat itu sendiri,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) di Dewan Rakyat, semalam.

Guan Eng meminta penjelasan adakah kerajaan terpaksa menanggung beban hutang RM38 bilion jika 1MDB bankrap kerana tiada keuntungan yang cukup untuk membayar wang faedah.

Najib berkata, syarikat tersebut mempunyai rangka kerja dan tadbir urus yang kukuh bagi membolehkannya mendapat pengiktirafan antarabangsa bagi bon yang diterbitkan.

Beliau berkata, 1MDB juga sentiasa melakukan usaha kewangan dan teknikal yang sepenuhnya sebelum membuat keputusan bagi melabur dalam sesuatu projek.

“Setakat ini, 1MDB tidak pernah terlepas dari memenuhi obligasi jadual pembiayaan kewangannya. Kedudukan kewangan syarikat itu tetap kukuh disokong oleh aset strategik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:16 AM