GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Melvin Joni


Kuching: Kadar peruntukan untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT) perlu dikaji semula memandangkan harga barangan kian meningkat ketika ini.

Pemangku Yang Dipertua Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (Mapim) Sarawak Datuk Rozalix Ediwahab berkata, di Sarawak misalnya, kadar sedia ada sudah tidak relevan dengan peningkatan harga barangan.

Katanya, ia lebih-lebih lagi membabitkan sekolah di luar bandar dan pedalaman, sekali gus boleh mengundang berlakunya penyedia RMT hanya menghidangkan nasi putih dan kuah.

"Peruntukan yang diberikan masih pada kadar lama sedangkan sekarang harga barangan meningkat.

"Maka, ini wajar dijadikan sebagai pertimbangan kerana ia secara tidak langsung turut menaikkan kos kepada pembekal RMT terutama bagi sekolah di kawasan di luar bandar dan pedalaman," katanya yang dihubungi, hari ini.

Kadar peruntukan RMT ketika ini ialah RM2.50 untuk pelajar di Semenanjung dan RM3 bagi pelajar di Sarawak, Sabah serta Labuan.

Justeru, Rozalix berkata, peruntukan yang mencukupi harus diberikan bagi memastikan makanan yang disediakan kepada pelajar berkualiti.

Katanya, pada masa ini, ramai pembekal RMT mengeluh disebabkan bajet yang kecil tetapi mereka tetap mengusahakannya.

RMT dilaksanakan sebagai makanan tambahan kepada pelajar sekolah rendah daripada keluarga berpendapatan rendah bagi meningkatkan tahap kesihatan, fizikal dan amalan pemakanan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 10:05 AM