GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lima kertas siasatan berhubung kes penipuan haji menggunakan visa furada akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kertas siasatan itu akan dirujuk oleh Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pemalsuan/Pelaburan Bersindiket) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bagi mendapatkan nasihat serta arahan lanjut.

"Sehingga 31 Julai lalu, kami menerima 132 laporan di seluruh negara membabitkan tiga agensi pelancongan yang mencatatkan lebih RM5.6 juta dengan 23 kertas siasatan dibuka.

"Ini menunjukkan jumlah laporan diterima meningkat berbanding 121 kes sebelum ini dan siasatan berhubung kes terbabit masih diteruskan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan polis menerima 121 laporan berkaitan penipuan pakej haji oleh tiga agensi pelancongan yang mengakibatkan kerugian RM5.17 juta.

Noorsiah dipetik berkata, jumlah laporan itu membabitkan tiga agensi berlainan berkaitan kes penipuan haji dan umrah furada.

Katanya, polis menerima 121 kes di 10 negeri berkaitan penipuan pakej haji oleh tiga agensi pelancongan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 11:25 AM