ANTARA individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, malam tadi. Ihsan polis.
ANTARA individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, malam tadi. Ihsan polis.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kegiatan sebuah pusat hiburan di Jalan Pudu, di sini, menawarkan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO) terbongkar dalam serbuan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya membuat serbuan di premis terbabit kira-kira jam 11 malam.

"Dalam serbuan itu, kami menahan 10 individu termasuk seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pengurus premis.

"Sembilan lagi individu yang ditahan membabitkan wanita warga asing berusia antara 30 hingga 40 tahun yang dipercayai bekerja sebagai GRO di pusat hiburan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Dellhan berkata, pihaknya turut merampas dua pembesar suara, satu resit perniagaan, satu set pengadun muzik, satu pembesar muzik, satu komputer rina dan satu set peralatan internet dalam serbuan itu.

"Semakan dilakukan juga mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen hiburan.

"Semua individu yang ditahan direman selama empat hari bermula hari ini hingga 31 Julai nanti untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992, Seksyen 55B Akta Imigresen 1953/69 dan Seksyen 6 (1) (c) akta sama.

"Pihak polis akan meningkatkan operasi dan pemeriksaan di premis hiburan selain membuat pemantauan terhadap aktiviti pub serta kelab malam yang tidak mematuhi undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 6:05 PM