Nazdy Harun

Kuala Terengganu: "Setiap hari, saya akan pastikan ibu saudara dapat makan dan minum. Rutin itu dilakukan sejak lebih 30 tahun lalu," kata Mohd Salleh Kamaruddin, 59, dari Taman Seri Kolam di sini.

Menurut Mohd Salleh, ibu saudaranya, Adnan Teh, 81, tinggal berseorangan di Kampung Ladang Sahat di sini, selepas kematian kedua ibu bapa kira-kira 40 tahun lalu.

Katanya, dia kemudian mengambil alih menjaga ibu saudaranya itu.

"Ibu saudara tinggal di rumah pusaka arwah keluarga dan setiap hari, pada pagi serta petang, saya akan menghantar makanan kepadanya.

"Keadaan rumah ibu saudara juga tidak terurus berikutan sukar bagi kami untuk mengemas dan membersihkannya kerana dihalangnya.

"Namun kebajikannya tetap terjaga walaupun pada pandangan orang luar, rumahnya tidak sempurna dan kotor," katanya.

Menurutnya, ibu saudaranya tidak pernah berkahwin dan selepas kematian ibu bapanya, maka saudara terdekat menjadi tempatnya bergantung.

Katanya, ibu saudaranya itu juga mengalami ketumbuhan pada bahagian belakang badan malah Jabatan Kesihatan Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga pernah datang melihat keadaan wanita berkenaan.

ADNAN sedang makan di dalam rumahnya. FOTO Nazdy Harun
ADNAN sedang makan di dalam rumahnya. FOTO Nazdy Harun

"Saya berharap orang ramai tidak memandang negatif dengan mengatakan ibu saudara saya tiada keluarga dan tinggal sebatang kara.

"Ibu saudara lebih suka tinggal sendirian kerana di situlah dia dibesarkan dan menetap selama ini. Selagi bernafas, saya akan terus memastikan kebajikan ibu saudara terbela," katanya.

Menurutnya, tiada istilah letih atau penat kerana setiap hari, dia akan memastikan ibu saudaranya menerima makanan yang mencukupi selain memantau perkembangan kesihatan warga emas berkenaan.

Tambahnya, sebagai anak saudara, dia bertanggungjawab menjaga ibu saudaranya namun apa yang membuatkannya sedikit gusar adalah keadaan rumah berkenaan yang sukar dibersihkan.

"Ibu saudara tidak benarkan sesiapa masuk untuk membersihkan bahagian dalam rumah.

"Namun, saya sudah berpakat dengan penduduk setempat untuk membawa pulang ibu saudara buat seketika bagi membolehkan kerja membersihkan rumah itu dapat dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 3:49 PM