Rosyahaida Abdullah


FWD Takaful Berhad (FWD Takaful) menandatangani perjanjian kerjasama dengan Naluri Hidup Sdn Bhd (Naluri) bagi penawaran Program Terapi Digital (Digital Therapeutics Programme) khusus untuk pelanggan pelan kanser Family Takaful dalam talian pertamanya, FWD Care Direct.

Ketua Pegawai Eksekutif FWD Takaful, Salim Majid Zain berkata, Program Terapi Digital itu adalah perkhidmatan nilai tambah pilihan buat pelanggan FWD Care Direct sedia ada yang menyediakan sokongan berterusan saat mereka disahkan menghidap kanser.

Menerusi jalinan kerjasama itu, pelanggan FWD Care Direct boleh mengaktifkan akaun mereka di aplikasi telefon pintar Naluri sejurus melakukan tuntutan terhadap diagnosis kanser masing-masing bagi memperoleh akses sokongan mental, fizikal dan emosi yang mungkin diperlukan.

“Program ini direka khusus untuk memberikan sokongan kepada pelanggan FWD Care Direct yang mungkin terjejas saat mengetahui mereka menghidap kanser.

“Ia sebahagian pendekatan menyeluruh kami dalam memastikan penjagaan kesihatan pelanggan tidak terhenti saat diagnosis saja sebaliknya dilakukan secara berterusan.

“Sejak dilancarkan Oktober tahun lalu, 130 polisi membabitkan pelan FWD Care Direct terjual dengan jumlah perlindungan dianggarkan mencecah RM50 juta,” katanya sempena majlis pemeteraian kerjasama berkenaan di sini, semalam.

SALIM Majid (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Azran (dua dari kanan), semalam.
SALIM Majid (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Azran (dua dari kanan), semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Naluri, Azran Osman-Rani dan Ketua Pegawai Pengedaran Digital dan Strategi FWD Takaful, Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi.

Di bawah Program Terapi Digital untuk pelanggan FWD Care Direct, ada enam ciri direka bagi membentuk tabiat kesihatan jangka panjang pengguna iaitu Latihan Kesihatan Profesional, Modul Interaktif Harian, Jurnal Gambar Makanan, Jurnal Pemikiran Digital, Perancang & Skrin Utama serta Timbang Berat Berhubung.

Salim berkata, menjadi harapan pihaknya meningkatkan kesedaran, sekali gus mengubah cara masyarakat berfikir mengenai takaful.

“Melalui platform ini juga, kami mahu tunjukkan keberadaan kami bersama pelanggan dalam setiap langkah mereka dan bantu mereka kecapi tahap kesihatan terbaik menerusi pembinaan daya tahan mental untuk berdepan cabaran kesihatan yang menanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 7:10 AM