Gambar hiasan
Gambar hiasan
Izz Laily Hussein


Iskandar Puteri: Seorang pesara swasta berputih mata apabila kerugian lebih RM650,000 wang hasil simpanannya akibat ditipu sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor, Asisten Komisioner Amran Md Jusin berkata, kejadian berlaku apabila mangsa lelaki berusia 68 tahun itu mendakwa dihubungi sindiket penipuan itu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

"Suspek menakutkan mangsa dengan memberitahu bahawa mangsa terbabit dengan pengambilan ubat terlarang dan pengubahan wang haram.

"Suspek meyakinkan mangsa bahawa akaun bank milik mangsa akan diaudit dan disiasat," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Amran berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa memindahkan semua wang dari akaun miliknya ke dalam satu akaun bank lain yang diberikan suspek kononnya bagi tujuan siasatan.

Bukan itu sahaja, Amran berkata, suspek juga memberitahu terdapat notis perintah mahkamah tinggi yang mengarahkan mangsa untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis.

"Tanpa usul periksa, mangsa memindahkan sebanyak RM652,500 dari akaun bank miliknya kepada nombor akaun bank tempatan yang diberikan suspek," katanya.

Menurut Amran, pemindahan wang dilakukan mangsa menerusi 22 transaksi bermula 11 Mei lalu hingga 5 Jun lalu.

Katanya, mangsa menyedari dirinya ditipu dan memaklumkan kepada anaknya yang seterusnya membuat laporan polis di Balai Polis Nusa Bestari semalam.

Hasil siasatan awal, Amran berkata, terdapat dua kes direkodkan antara tempoh 6 Mei hingga semalam dalam lain-lain kes jenayah komersil dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 5:51 PM