WANITA warga emas ditemui dengan kepala tersangkut di kerusi plastik dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Sri Puteri, Meru pada tengah hari tadi. FOTO ihsan JPBM Selangor
WANITA warga emas ditemui dengan kepala tersangkut di kerusi plastik dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Sri Puteri, Meru pada tengah hari tadi. FOTO ihsan JPBM Selangor
Norzamira Che Noh


Klang: Seorang wanita warga emas ditemui dalam keadaan tidak bermaya dengan kepala tersangkut di kerusi plastik dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Sri Puteri, Meru dekat sini, tengah hari tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, warga emas berusia 78 tahun itu dipercayai terjatuh sebelum kepalanya termasuk dan tersangkut pada kerusi plastik terbabit.

Beliau berkata, sebelum itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada jam 12.18 tengah hari dan sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar bergegas ke lokasi.

Katanya, mangsa dipercayai tinggal sendirian dan panggilan kecemasan dibuat oleh jirannya.

"Sebaik tiba di lokasi, didapati seorang wanita warga emas berusia 78 tahun terbaring di lantai dengan kepalanya tersangkut di kerusi plastik.

"Ketika pasukan tiba, mangsa dalam keadaan sedar tetapi tidak bermaya.

"Pasukan kemudian mengeluarkan kerusi yang tersangkut itu dan mangsa kemudian diserahkan kepada petugas kesihatan (Kementerian Kesihatan Malaysia)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 3:22 PM