GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Mamat


Melaka: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri mengesahkan Pantai Siring Kampung Pulai, di Serkam di sini menjadi antara laluan beberapa buaya tembaga untuk ke habitatnya di muara sungai.

Pengarahnya, Mohd Firrdhaus Mahmood berkata, spesis Crocodylus porosus biasanya menjadikan muara sungai di sekitar Selat Melaka sebagai habitat kerana ia boleh bertoleransi dengan air tawar dan air masin.

"Pantai Siring sememangnya antara kawasan yang merekodkan kehadiran buaya kerana sebelum ini juga kita pernah menyelamat seekor buaya yang tersangkut pada jaring nelayan pada 4 Jun tahun lalu," katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu susulan tular video 'Sang Bedal' itu yang muncul di pinggir pantai di Pantai Siring, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Firrdhaus meminta orang ramai khususnya di sekitar Pantai Siring berhati-hati ketika melakukan aktiviti air di kawasan terbabit.

Katanya, mereka yang melakukan aktiviti air seperti berkayak dan memancing di kawasan itu dinasihatkan mengambil langkah waspada iaitu mengelakkan pertembungan dengan spesies reptilia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 10:13 PM