AHMAD Zahid Hamidi. FOTO Aizuddin Saad.
AHMAD Zahid Hamidi. FOTO Aizuddin Saad.
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Dua lot banglo di Country Heights, Kajang dibeli pada harga diskaun menggunakan dana Yayasan Akalbudi kerana pemiliknya iaitu taikun pemaju perumahan, Tan Sri Lee Kim Yew memerlukan wang segera ketika itu.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, Lee menawarkan untuk menjual banglo berkenaan pada harga diskaun kerana ahli perniagaan itu berdepan masalah membayar cukai pendapatannya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffrey Ong berkata, garis masa yang diberikan berhubung tawaran itu adalah amat singkat yang memerlukan yayasan membuat keputusan dengan cepat.

Perkara itu dinyatakan Ahmad Zahid selepas beliau dirujuk dengan buku lejar akaun pemegang amanah Yayasan Akalbudi yang menunjukkan firma guaman Tetuan Lewis & Co memasukkan RM2 juta ke dalam akaun deposit tetap pada 30 November 2016 dan RM5 juta pada 9 Disember tahun sama.

Ahmad Zahid yang mengesahkan butiran itu, ditanya mengapa firma guaman terbabit tidak menunggu sehingga akaun deposit tetap mencapai tempoh matang terlebih dulu, sama ada sehingga enam bulan atau setahun sebelum mengeluarkan dana berkenaan.

Menjelaskan perkara itu, Ahmad Zahid berkata, ia disebabkan Lee memberikan notis yang singkat berhubung tawaran pembelian dua banglo berkenaan.

Harris Ong kemudian mencadangkan bahawa pembelian banglo berkenaan bukan dibuat atas dasar kebajikan tetapi semata-mata untuk menolong pemiliknya, namun Ahmad Zahid tidak bersetuju.

Presiden UMNO itu menjelaskan pengeluaran sebelum tempoh matang dana berkenaan adalah secara asasnya keputusan pentadbiran yayasan.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Lee yang juga saksi ke-57 pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi, adik Ahmad Zahid iaitu Datuk Seri Mohamad Nasaee membeli dua banglo di Country Heights, Kajang, bernilai RM5.9 juta menerusi cek Tetuan Lewis & Co.

Lee yang juga Pengarah Bee Garden Holdings Sdn Bhd berkata, cek itu untuk pembayaran penyelesaian jualan bagi dua banglo setingkat milik syarikatnya, yang dijual kepada Yayasan Al-Falah di mana Mohamad Nasaee adalah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah yayasan berkenaan.

Beliau berkata, tujuan pembelian dua banglo menerusi sekeping cek bertarikh 4 Januari 2017 adalah berkaitan dengan keagamaan kerana lokasinya berdekatan surau.

Dalam pada itu, peguam Hisyam Teh Poh Teik berkata, pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju untuk melawat dua banglo itu seperti yang dipersetujui oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah pada 1 Ogos ini.

Sequerah semalam bersetuju mengadakan lawatan itu selepas pasukan pembelaan mencadangkan perkara berkenaan atas alasan demi keadilan dalam perbicaraan kes rasuah dihadapi Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid ketika membela diri terhadap pertuduhan pengubahan wang haram sebelum ini menjelaskan, pembelian dua banglo di lot tanah di Country Heights adalah untuk dijadikan pusat pengajian Al-Quran bagi golongan yang akan bersara dan pelajar tahfiz serta menegaskan beliau tidak pernah menggunakan kedua-dua lot banglo itu sebagai kediaman dan kegunaan peribadi.

Katanya, bangunan di lot tanah yang kedua sedang dinaiktaraf dan diubahsuai bagi kegunaan pelajar tahfiz yang dikenali sebagai Madrasah Tahfiz.

Tambahnya, dua lot banglo itu diletakkan di bawah nama Yayasan Al-Falah kerana ia adalah sumbangan daripada Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Sequerah bersambung 5 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 6:00 PM