GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) menyerang tidak mengira peringkat usia, namun komplikasi boleh berlaku kepada individu yang mempunyai imun badan lemah.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Nor Faiza Mohd Tohit berkata, HFMD sebenarnya bukan suatu penyakit baharu, namun menjadi salah satu isu kesihatan awam sejak sekian lama.

Katanya, penyakit itu yang bersifat self-limiting atau mudah untuk sembuh tidak membawa komplikasi yang teruk serta situasi jangkitan yang sentiasa dalam kawalan menyebabkan ia tidak begitu mendapat perhatian masyarakat sebelum ini.

"Lazimnya HFMD menyerang bayi atau kanak-kanak, namun golongan dewasa juga boleh dijangkiti.

"Golongan berisiko tinggi seperti bayi, kanak-kanak bawah lima tahun dan berpenyakit kronik, mereka lebih berisiko untuk mendapat komplikasi.

"Orang dewasa juga berisiko mendapat komplikasi jika mereka lemah daya imun tubuh.

"Komplikasi yang boleh berlaku akibat HFMD termasuklah jangkitan kepada otak (encephalitis) dan otot jantung (myocarditis)," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas jangkitan HFMD yang kini menular dalam komuniti dan bukan hanya menjadi ancaman kepada golongan bayi dan kanak-kanak, malah turut menjangkiti individu dewasa.

Mengulas lanjut beliau berkata, virus penyebab HFMD boleh terdapat dalam kerongkong dan najis sebelum merebak melalui sentuhan terus dengan air liur dan najis mereka yang dijangkiti.

"Orang dewasa yang berhadapan dengan risiko jangkitan HFMD ialah golongan ibu bapa atau berhubungan terus dengan kanak-kanak seperti guru tadika atau pengasuh.

"Jangkitan boleh dan mudah berlaku terutama ketika membersihkan najis atau menukar lampin kanak-kanak.

"Orang dewasa di kawasan awam juga boleh dijangkiti jika berhubungan secara terus dengan cecair dari hidung atau mulut (batuk atau bersin) selain menyentuh permukaan tercemar dengan virus itu," katanya.

Katanya, tempoh inkubasi berlaku antara tiga hingga lima hari dan masa paling berisiko untuk menjangkiti individu lain adalah ketika sebelum dan selepas gejala timbul.

"Seseorang yang dijangkiti penyakit HFMD boleh menjadi punca jangkitan sehinggalah ruamnya kering.

"Majoriti kes mengalami gejala ringan dan sembuh dalam masa lima hingga tujuh hari.

"Antara gejala jangkitan HFMD ialah demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

"Individu yang dijangkiti selalunya kurang selera makan dan boleh menyebabkan dehidrasi," katanya.

Beliau berkata, masyarakat perlu terus mengamalkan tahap kebersihan tinggi setiap masa serta kuarantin kendiri jika bergejala.

"Walaupun HFMD boleh sembuh sendiri dalam tempoh lima hingga tujuh hari, namun seseorang itu masih boleh menjadi sumber jangkitan sehingga beberapa hari atau minggu berikutnya.

"Oleh itu, amat penting mencuci tangan dengan air dan sabun serta menggunakan cecair pembasmi kuman serta kuarantin kendiri dan etika batuk dan bersin yang betul jika mengalami gejala atau terdedah kepada mereka yang dijangkiti HFMD," katanya.

Mengenai penghasilan vaksinasi bagi mencegah penularan HFMD, katanya, memandangkan HFMD bersifat self limiting, tidak berbaloi untuk mengeluarkan kos yang amat besar bagi penghasilan vaksin.

"Apa yang penting, tingkatkan lagi tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat. Selain itu, tindakan tegas perlu diambil kepada pengusaha premis tumpuan awam atau tadika yang menyembunyikan kes jangkitan.

"Orang ramai juga perlu mengenal pasti gejala atau gejala komplikasi HFMD dan dapatkan rawatan dengan segera.

"Selain itu, penting amalkan gaya hidup sihat seperti kekal terhidrat, makan makanan seimbang, uruskan tahap tekanan dengan betul, rehat mencukupi dan senaman secara konsisten untuk meningkatkan imuniti tubuh bagi mengelakkan jangkitan atau komplikasi jangkitan," katanya.

Sebelum ini Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan, 106,477 kes HFMD dilaporkan bermula Januari hingga 18 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 7:00 PM