ZURAIDA ketika melawat ladang koko di Kampung Panchor, Alor Gajah. FOTO Amir Mamat
ZURAIDA ketika melawat ladang koko di Kampung Panchor, Alor Gajah. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Alor Gajah: Penyusutan harga minyak sawit mentah (MSM) ketika ini akan terus berlaku sehingga akhir tahun, namun dijangka tidak melebihi RM4,500 satu tan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata meskipun pihaknya menjangkakan penurunan harga bahan komoditi itu akan mula berlaku pada penghujung tahun, namun penyusutan itu bermula beberapa minggu lalu berikutan beberapa faktor.

Katanya, ia termasuk sekatan daripada Indonesia serta peperangan yang berlaku di Ukraine.

"Pada jangkaan saya penurunan sehingga RM4,500 akan terjadi pada hujung tahun, tetapi kerana keadaan pasaran sekarang, termasuk situasi sekatan di Indonesia dan peperangan Ukraine, mengakibatkan harga MSM mula turun.

"Tapi takkan lebih rendah daripada RM4,500. Itu yang saya jangka dan harga itu akan naik semula (selepas ini). Apa pun, pekebun kecil sawit masih lagi memperoleh dengan harga yang tinggi ketika ini," katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Ladang Koko Ting Agro Entrerprise, Panchor, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan penurunan drastik harga MSM hampir 30 peratus bulan ini dijangka menjejaskan perniagaan pengeluar sawit.

Penganalisis berkata, pengeluar akan terjejas memandangkan terdapat kemungkinan peningkatan risiko kemungkinan atau kegagalan membuat pembayaran dalam kalangan pembeli yang mahu menangguhkan penghantaran minyak sawit, memandangkan mereka sudah mengunci harga yang tinggi lebih awal.

Namun, secara positif, purata harga jualan (ASP) bagi MSM pada masa ini masih lagi melebihi purata kos operasi pengeluaran industri.

Sementara itu, Zuraida berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan tiada ketirisan membabitkan kekurangan minyak masak paket di pasaran ketika ini.

Katanya, pihaknya juga akan memastikan pengeluaran minyak masak paket dari kilang akan terus sampai ke peruncit seterusnya kepada pengguna tanpa sebarang ketirisan.

"Kita akan mengambil tindakan yang keras sekiranya didapati ada pembekal atau pengilang yang membuat jualan di `pasaran gelap' dengan menarik balik atau menggantung lesen perniagaan mereka ke satu tempoh yang panjang.

"Ini adalah minyak masak bersubsidi kepada rakyat, (jika ada ketirisan) mereka (peniaga) dah dikira mengkhianati rakyat. (Subsidi) ini bukan untuk mereka ambil dan buat duit dan jual kepada orang lain.

"Ini perkara yang sangat serius dan kita akan ambil tindakan yang tegas terhadap mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 4:59 PM