Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Tekong dan dua kru bot ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai melanggar syarat lesen dan tiada permit sah untuk melakukan aktivit rekreasi perikanan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, ketiga-tiga mereka berusia 39 hingga 46 tahun ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985.

Beliau berkata, pemeriksaan juga mendapati bot kelas A berkenaan direkodkan pernah melalukan kesalahan yang sama pada 2020.

"Daripada maklumat awal (dan) siasatan, difahamkan bot yang membawa 10 pemancing ini tidak mempunyai permit yang sah untuk melaksanakan aktiviti rekreasi iaitu membawa penumpang.

"(Untuk aktiviti) ini, permit yang sepatutnya dikeluarkan oleh Jabatan Laut juga tiada dan didapati melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan kerana membawa penumpang atau pekerja yang tidak didaftarkan untuk bot kelas A.

"(Bagi bot kategori ini), lesen (yang dikeluarkan) hanya untuk tiga orang saja dan (dalam kes ini) mereka membawa lebih muatan tanpa kelulusan daripada Jabatan Perikanan," katanya ketika ditemui di Pejabat APMM Terengganu, di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya melahirkan rasa kecewa apabila kesalahan sama masih berulang walaupun pernah diberikan amaran dua tahun lalu.

Katanya, bot yang digunakan tidak sesuai untuk aktiviti memancing kerana ia didaftarkan untuk beroperasi di kawasan tradisional atau kawasan yang masih mempunyai liputan talian telefon.

"Tetapi bot ini telah membawa pemancing jauh ke luar melebihi jarak ditetapkan dan kita memandang serius kesalahan berkenaan.

"Kali ini, kejadian sama dan bot yang sama, kita tidak akan beri ruang dan akan ambil tindakan supaya ia jadi pengajaran bagi memastikan insiden sama tidak berulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 3:27 PM
Muhammad Suffi (empat dari kanan) bertanyakan khabar 10 orang  pemancing dan tiga kru yang dikhuatiri hilang sebelum ini di laut apabila selamat  tiba di Jeti Maritim Malaysia di sini. FOTO GHAZALI KORI
Muhammad Suffi (empat dari kanan) bertanyakan khabar 10 orang pemancing dan tiga kru yang dikhuatiri hilang sebelum ini di laut apabila selamat tiba di Jeti Maritim Malaysia di sini. FOTO GHAZALI KORI