Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kerajaan akan mengkaji semula undang-undang berkaitan kebankrapan yang menghalang anak muda diisytiharkan muflis daripada bekerja serta menjalankan perniagaan bagi melunaskan hutang.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana jumlah golongan terbabit yang diisytiharkan muflis amat membimbangkan.

"Saya akan bincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) supaya melihat semula akta berkaitan muflis.

"Saya juga akan berjumpa Gabenor Bank Negara Malaysia untuk melihat dari segi tindakan undang-undang supaya kita boleh tangguh lagi atau sebagainya," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Karnival Kerjaya Belia Barisan Nasional (BN) 2022 (BNYJF'22) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian sebagai maklum balas terhadap ucapan Dr Asyraf sebelum itu yang meminta kerajaan mengambil tindakan drastik menilai semula dan meminda undang-undang insolvensi bagi membantu individu dibelenggu masalah itu, terutama golongan muda.

Turut hadir Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi Pemuda BN Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengarah BNYJF'22 Datuk Mohd Lassim Burhan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan sebelum ini pernah menaikkan nilai ambang kebankrapan daripada RM50,000 kepada RM100,000 sekali gus menjadikan ia lebih komprehensif terhadap keperluan dan isu semasa berkaitan insolvensi.

ISMAIL Sabri memulakan lawatan rasmi selama empat hari ke Turkiye. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri memulakan lawatan rasmi selama empat hari ke Turkiye. FOTO Bernama

Malah, katanya, kerajaan juga menangguhkan tindakan undang-undang seperti pengisytiharan kebankrapan sewaktu tempoh pandemik Covid-19.

"Percayalah masa depan anak muda akan tetap menjadi agenda kerajaan hari ini," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Karnival Kerjaya Belia BN itu adalah kesinambungan usaha murni dalam membantu Keluarga Malaysia, khususnya golongan muda di kawasan sekitar untuk mendapatkan kerja.

Katanya, pelbagai usaha dan tindakan oleh kerajaan bagi memastikan rakyat dan seluruh Keluarga Malaysia mendapatkan pekerjaan.

Beliau berharap usaha itu mendapat sokongan Pemuda BN untuk menghebahkannya dan membantu menangkis kritikan pembangkang yang terus memfitnah kerajaan kononnya tidak mengambil tindakan membantu golongan belia.

Difahamkan, lebih 20,000 kekosongan jawatan dari lebih 200 majikan mengambil bahagian dalam karnival berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 4:59 PM