BERNAMA

Kuala Lumpur: Rang Undang-undang (Pindaan) Kebankrapan 2016 yang antara lain memberi perlindungan kebankrapan kepada penjamin sosial dilulus Dewan Rakyat hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, rang undang-undang itu adalah pembaharuan yang mewujudkan sistem lebih adil kepada golongan berkenaan.

"Bila kita tengok definisi penjamin sosial itu, dia bukannya penjamin berasaskan keuntungan, tapi dia menjamin kerana pinjaman biasiswa, penyelidikan, itu sebenarnya kita tengok dalam definisi," katanya ketika menggulung rang undang-undang itu.

Bagaimanapun beliau berkata, penjamin sosial masih berhadapan dengan proses undang-undang yang lain bagi mengelak mereka menyalahgunakan pindaan undang-undang ini.

“Mungkin dia tidak dibankrapkan, namun tindakan lain masih berjalan, Akta ini tidak kata sebab dia penjamin sosial, semua tindakan tidak boleh diambil," katanya.

Terdahulu, ketika membentang rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, Azalina berkata kerajaan mempertimbang lapan perubahan dasar untuk meminda rang undang-undang itu termasuk menghalang tindakan kebankrapan terhadap penjamin sosial dan menaikkan nilai minimum kebankrapan.

Azalina bagaimanapun berkata, pindaan rang undang-undang itu tidak tertakluk kepada penjamin sosial yang sudah dibankrapkan sebelum ini.

Menurutnya, rang undang-undang berkenaan memberi perlindungan kepada penjamin sosial melalui pindaan Seksyen 33B menerusi empat kategori bankrap yang boleh dilepaskan atas budi bicara Ketua Pengarah Insolvensi tanpa bantahan pemiutang.

“Dalam keadaan penjamin sosial belum dibankrapkan, dengan kuatkuasa rang undang-undang ini penjamin sosial tidak boleh dibankrapkan," katanya.

Namun, katanya Ketua Pengarah Insolvensi masih tertakluk kepada mahkamah dalam mengeluarkan sijil pelepasan bankrap.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 10:20 PM