GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Polis sedang mencari pemilik akaun Facebook (FB) susulan tindakannya memuat naik hantaran berbentuk fitnah kepada anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya mengesan hantaran yang tular itu di FB semalam.

Beliau berkata, pemilik akaun FB itu menuduh anggota polis sengaja menunggu di simpang depan Masjid Darul Ibrahim, Batu 28, Ijok, Bestari Jaya di sini, dan menahan orang ramai yang selesai solat.

"Menerusi hantaran itu, dia turut menuduh anggota polis sengaja mengekorinya sehingga ke rumah seolah-olah dia membawa dadah.

"Satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor susulan hantaran terbabit yang memaparkan petikan ayat yang jelik dan secara tidak langsung menjatuhkan imej polis," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, kejadian berlaku ketika anggota URB menjalankan tugas memeriksa seorang lelaki di tepi jalan belakang Masjid Darul Ibrahim.

Beliau berkata, lelaki itu ditahan atas kesalahan motosikal tidak mempunyai cermin sisi dan gagal mempamerkan cukai jalan.

"Sehubungan itu, satu kertas siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 1:51 PM