GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menahan empat warga Nepal dipercayai individu yang videonya tular kerana menyatakan sokongan terhadap kenyataan ahli politik India berhubung penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, suspek berusia 26 hingga 27 tahun ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, hari ini.

"Polis turut merampas peranti yang dipercayai digunakan untuk merakam dan memuat naik hantaran tular di media sosial itu.

"Polis kini sedang berusaha untuk mengesan baki suspek yang masih bebas dan menggesa individu terbabit dengan rakaman video itu supaya tampil membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, video dimuat naik di TikTok menggunakan nama @ganggarammahto280, menunjukkan sekumpulan lelaki dipercayai warga asing berkumpul di hadapan kuil di Batu Caves sambil menyatakan pendirian menyokong ahli politik daripada parti Bharatiya Janata yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Rakaman video berdurasi satu minit 18 saat itu mendapat lebih 16,000 tontonan serta tular di Facebook dan WhatsApp.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 6:27 PM