Hydier (tengah) menyerahkan sumbangan katil dari Persatuan Belia Gugusan Salak (PBGS)  kepada warga emas di Kampung Salak Tengah. FOTO SAMADI AHMAD
Hydier (tengah) menyerahkan sumbangan katil dari Persatuan Belia Gugusan Salak (PBGS) kepada warga emas di Kampung Salak Tengah. FOTO SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad


Sepang: Jual 27,000 batang lemang pada Aidilfitri lalu sebelum sebahagian keuntungan disumbangkan kepada golongan asnaf dan warga emas sakit.

Itu usaha dilakukan Persatuan Belia Gugusan Salak (PBGS) yang berkongsi rezeki termasuk melakukan infak untuk membantu golongan memerlukan.

Ketua PBGS, Muhammad Hydier Hamid berkata, sumbangan itu adalah sebahagian hasil keuntungan jualan Lemang Bagus diusahakan persatuan itu sepanjang Ramadan lalu termasuk pemberian orang ramai.

Katanya, sebelum ini PBGS menyediakan kenderaan jenazah yang boleh digunakan secara percuma oleh penduduk sekitar Sungai Pelek di sini.

"Namun kali ini kami menyediakan 10 katil dan 10 kerusi roda dengan nilai keseluruhannya lebih RM25,000.

"Selain katil dan kerusi roda pihak kami turut menyumbang lampin pakai buang dan barangan keperluan dapur kepada penerima," katanya.

Terbaru seorang lelaki warga emas di Kampung Salak Tengah di sini, Ahmad Tam Jajuli, 85, yang terlantar sakit menerima sumbangan katil disampaikan PBGS semalam.

Isteri warga emas terbabit, Imah Ibas, 77, berkata, suaminya sebelum ini sihat namun lumpuh selepas terjatuh ketika mahu bersahur pada pertengahan Ramadan lalu.

"Saya bersyukur kerana ada pihak yang sudi menyumbang katil ini. Ia dapat membantu memudahkan pergerakan serta memberi keselesaan kepada suami, "katanya selepas menerima bantuan PBGS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 3:58 PM