Mohd Zaidi menunjukkan sebilah pisau yang turut ditemui hasil tangkapan ke atas suspek kes samun di Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Mohd Zaidi menunjukkan sebilah pisau yang turut ditemui hasil tangkapan ke atas suspek kes samun di Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Tempoh 24 jam diambil polis untuk menangkap seorang penjenayah yang mencuri beg sandang milik seorang doktor di sebuah restoran di Aeropod, Tanjung Aru, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 1 tengah hari, wanita berusia 33 tahun dilaporkan sempat melihat suspek menaiki sebuah kereta Perodua Viva sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihak polis berjaya mengesan kenderaan digunakan yang membawa kepada penangkapan seorang lelaki berusia 33 tahun.

"Hasil pemeriksaan, polis merampas semula beberapa barangan milik mangsa yang dilaporkan hilang dalam kejadian sehari sebelum itu.

"Dalam soal siasat, suspek mengaku terbabit dalam tiga lagi kes samun bersenjata di sekitar ibu negeri ini yang dilakukannya seorang diri," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Rosdi Mat Jusoh.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada suspek terbabit dalam kes lain yang pernah dilaporkan sebelum ini.

Katanya, saringan ujian air kencing terhadap suspek turut didapati positif dadah jenis methaphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 1:26 PM