Zanariah Abd Mutalib


KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 mencatatkan Gred Purata Nasional (GPN) 4.90, pencapaian lebih baik berbanding 5.05 pada 2016.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata pencapaian calon di bandar dan luar bandar menunjukkan prestasi memberangsangkan iaitu GPN 4.75 berbanding 4.89 pada 2016 bagi bandar, dan 5.22 berbanding 5.36 pada 2016 bagi luar bandar.

Amin berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 66 peratus menguasai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dengan baik.

"Berdasarkan kualiti jawapan calon, 27 peratus calon menguasai KBAT tahap tinggi, 39 peratus tahap sederhana dan 34 peratus tahap rendah.

"Calon menguasai kemahiran mengaplikasi pada tahap yang tinggi, namun kemahiran menganalisis, menilai dan mencipta masih pada tahap pertama," katanya.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 48 dari 73 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi, 23 mata pelajaran mencatatkan penurunan, manakala prestasi dua mata pelajaran tidak berubah.

“Prestasi lima mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah dan Matematik menunjukkan peningkatan manakala mata pelajaran Pendidikan Moral dan Sains mencatatkan penurunan.

“Prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu menunjukkan peningkatan tertinggi sebanyak 0.46 peratus, manakala mata pelajaran Pendidikan Moral menunjukkan penurunan tertinggi sebanyak 0.11 peratus,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 43 daripada 66 mata pelajaran elektif juga menunjukkan peningkatan prestasi, dengan tiga mata pelajaran dalam bidang sains dan matematik mencatat peningkatan iaitu Fizik, Kimia dan Matematik Tambahan.

KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin menunjukkan buku Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2017 ketika sidang media di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin menunjukkan buku Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2017 ketika sidang media di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

“Prestasi kesemua mata pelajaran elektif agama juga menunjukkan peningkatan berbanding 2016, dengan mata pelajaran Tasawwur Islam mencatatkan peningkatan tertinggi, manakala bagi bidang elektif teknikal pula, mata pelajaran Ekonomi Rumah Tangga mencatat prestasi tertinggi,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 85.2 peratus calon layak dianugerahkan sijil selepas lulus mata pelajaran wajib lulus bagi SPM iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah manakala bagi Calon Berkeperluan Khas (CBK), sebanyak 62.5 peratus daripada 994 calon layak dianugerahkan sijil.

“Keputusan SPM 2017 menunjukkan peningkatan pencapaian keseluruhan calon dan analisis juga menunjukkan Kementerian Pendidikan sentiasa memastikan kesamarataan peluang dan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua calon di seluruh negara,” katanya.

Bagi tujuan penandaarasan dan jaminan kualiti di peringkat antarabangsa, beliau berkata, pakar pentaksiran dari luar negara termasuk dari Cambridge Assessment International Education (CAIE), United Kingdom (UK), Cito, the Netherlands dan Pearson, UK terbabit dalam peperiksaan SPM bermula dari penghasilan instrumen hingga pengeluaran keputusan.

“Pakar pentaksiran berpuas hati dan berpendapat kesemua proses terbabit menepati ciri-ciri piawaian pentaksiran pendidikan dan diurus secara sistematik bagi memastikan kesahan dan kebolehpercayaan keputusan peperiksaan yang tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 10:40 AM