GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Bukit Mertajam: Pemimpin pemuda DAP Bukit Mertajam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menggunakan perkataan yang menghina.

Lim Zheng Han, 25, didakwa melakukan kesalahan itu dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di luar Medan Selera Insa Dunia pada 2 petang, 25 Mac lalu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afifah Mohd Shokri manakala Lim diwakili peguam RSN Rayer.

Pendaftar Mahkamah Majistret Hasliza Razak membenarkan Lim diikat jamin RM500 dan menetapkan 1 Julai untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan Lim mengetuai protes kecil di luar medan selera berkenaan untuk mengecam lawatan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Pulau Pinang pada 25 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 8:23 PM