MAYAT seorang lelaki ditemui dalam keadaan berlumuran darah di Taman Eng Ann dekat sini, pagi tadi. FOTO Ihsan IPD Klang Utara
MAYAT seorang lelaki ditemui dalam keadaan berlumuran darah di Taman Eng Ann dekat sini, pagi tadi. FOTO Ihsan IPD Klang Utara
Norzamira Che Noh


Klang: Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai ditetak dengan parang dalam kejadian di Taman Eng Ann dekat sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata pihaknya terdahulu menerima laporan mengenai insiden pergaduhan di kawasan itu pada jam 9.47 pagi.

Beliau berkata ketika pasukan polis tiba ditempat kejadian, didapati terdapat mayat seorang lelaki yang berlumuran darah. "Siasatan mendapati mangsa iaitu lelaki warga tempatan berusia 47 tahun dipercayai diserang dan ditetak dengan parang oleh beberapa lelaki.

"Mangsa yang bekerja sebagai penarik kereta itu meninggal dunia ditempat kejadian akibat luka kecederaan dibahagian badan, tangan kanan, tangan kiri dan kepala," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, motif sebenar kejadian itu masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Susulan kejadian itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kes ini tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD untuk memberi sebarang maklumat berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 7:14 PM