Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Parit Buntar: Lelaki yang ditahan selepas disyaki sebagai suspek kes rogol yang berlaku 19 tahun lalu dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini bagi permohonan sambung reman.

Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi kemudian membenarkan permohonan reman disambung lagi tiga hari bermula esok sehingga Khamis terhadap suspek berusia 40 tahun itu.

Suspek yang memakai baju lokap polis tiba di perkarangan mahkamah menaiki trak polis kira-kira 8.50 pagi tadi.

Permohonan reman itu dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan selepas suspek dipercayai merogol pada 2003 sekitar Bagan Serai.

Sebelum ini, suspek direman selama empat hari bermula Jumaat lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, Bagan Serai sehingga hari ini selepas dia ditahan 9.30 malam Khamis lalu.

Penahanan suspek adalah berbekalkan maklumat diperoleh daripada data profil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Pengarah JSJ Datuk Seri Abd Jalil Hassan menerusi kenyataan sebelum ini dilapor berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kertas siasatan akan segera dirujuk kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan arahan bagi tujuan pertuduhan.

Sebelum ini, siasatan saintifik menggunakan DNA berjaya mengenal pasti suspek lain yang terbabit dalam kes rogol remaja perempuan di Balik Pulau, Pulau Pinang, 12 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 10:33 AM